PROGRAM PENYEMBELIHAN & PENGURUSAN JENAZAH



 “Jarang orang muda hari ini hendak mengambil tahu cara pengurusan jenazah, apatah lagi kaedah penyembelihan menurut syariat Islam,” kata Ketua Badan Perwakilan Pelatih (BPP) GIATMARA Kota Melaka Mohd Nizamuddin Mohd Nasir, 23. Mohd Nizamuddin antara 63 orang pelatih GIATMARA Kota Melaka yang berjaya menamatkan Kursus Pengurusan Jenazah dan Penyembelihan Ayam di Surau Nur Hidayah, Kampung Solok Biak, Tanjung Kling, di sini, semalam. Katanya, dia dan rakan sangat teruja apabila memperoleh ilmu yang sangat bermanfaat terutama kerana ia sebahagian daripada fardu kifayah (pengurusan jenazah) yang dituntut sebagai seorang Muslim.
“Kursus ini sangat berfaedah kerana semua peserta diberi pendedahan secara teori dan amali yang secara tidak langsung memberi pengalaman sebenar cara menguruskan jenazah serta melakukan penyembelihan ayam dengan tertib dan sempurna.
“Ilmu ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia benar-benar bermanfaat dan boleh dijadikan panduan pada masa depan,” katanya.
Kursus sehari yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu dianjurkan GIATMARA Kota Melaka dengan kerjasama jawatankuasa pengurusan Surau Nur Hidayah. Sementara itu, peserta Nasrin Atiqah Mohd Razip, 22, berkata, program itu memberi pendedahan positif kepada peserta terutama membabitkan aspek kerja amal dan kemasyarakatan.
“Walaupun hanya sehari, kami dapat menambah ilmu bermanfaat untuk dipraktikkan dalam kehidupan,” katanya.
Guru yang juga pengerusi program, Encik Nuri Asnawi bin Zainal Abidin berkata, peserta program itu terdiri daripada pelajar kursus komputer, elektronik dan jahitan yang disokong Pengurus GIATMARA Kota Melaka Encik Khairi bin Ramli. Sementara itu, Pengerusi Surau Nur Hidayah, Encik Kamaludeen bin Mohamed Haneefa berkata, pihaknya menghargai usaha GIATMARA Kota Melaka dalam menjayakan program kali kedua itu, sekali gus berharap lebih ramai pihak lain tampil mengadakan program sama untuk memperoleh ilmu bermanfaat.

Program ini telah dilaksanakan pada 22 Mac 2018 (Khamis) bersamaan 4 Rejab 1439H.

- Artikel ini di ambil dari Harian Metro.














Gambar sepanjang aktiviti telah dimuat naik (upload) ke  :